Persoalan ini telah semakin kedengaran dan sumbernya bukannya daripada calang-calang orang. Mengikut sumber ini, kerajaan akan mempertimbangkan syarat lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia mulai 2012.

Pertimbangan ini katanya selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan menggantikan dasar PPSMI.

Jika dasar baru ini diluluskan, untuk memperoleh sijil SPM, calon-calon mestilah lulus Bahasa Inggeris dan jika tidak, mereka dikira gagal terus dalam SPM serta sudah semestinya tidak akan mendapat sijil!

Pada pendapat penulis, sebelum kita membuat sesuatu dasar yang penting, khususnya untuk kesejahteraan generasi akan datang, maka hendaklah kita berfikir, merenung, bermuhasabah, berdialog secara bersungguh-sungguh agar kita tidak akan melatah lagi selepas ini.

Terlalu banyak dasar yang telah dilaksanakan sebelum ini akhirnya terbengkalai di tengah jalan kerana kedangkalan kita dalam membuat perancangan. Sudah tentu bukan sedikit perbelanjaan yang telah dilabur dan berapa pula jumlah anak bangsa kita yang telah menjadi mangsa uji kaji ini?

Antara beberapa persoalan yang sepatutnya diberikan perhatian sebelum dasar baru ini dilaksanakan ialah:-

  • Apakah matlamat sebenar syarat kelulusan Bahasa Inggeris itu diperlukan?
  • Adakah dasar ini menguntungkan semua pihak?
  • Bagaimanakah nasib anak bangsa Melayu yang serba kekurangan di pedalaman?
  • Apakah jaminan yang dasar ini tidak akan menjejaskan peluang kerja yang lebih baik untuk mereka yang di luar bandar?
  • Sudah cukupkah prasarana yang diperlukan oleh anak-anak kampung yang disediakan sebelum kita menghukum mereka?

Cuba kita renungkan seketika, jika seseorang pemuda yang berkelulusan SPM (sebelum 2012) walaupun tidak lulus Bahasa Inggeris, mereka masih boleh memohon jawatan konstabel polis, anggota pangkat rendah dalam tentera,

TETAPI selepas 2012 nanti, mereka yang gagal Bahasa Inggeris dikira gagal dalam SPM dan terpaksalah bergantung hanya pada sijil PMR . Pekerjaan apakah yang boleh dipohon oleh mereka ini?

Berfikir biarlah panjang, merancang biarlah menyeluruh, membuat keputusan biarlah bijaksana.